Actually, aku tak tahu nak mulakan dari mana untuk berbicara. Hati masih lagi sayu, penuh dengan ombak rindu buat 2 orang insan yang jauh dari pandangan mata. Walaupun jauh dari pandangan mata, insan ini sentiasa dekat bagiku kerana mereka sentiasa ada dalam setiap kalimah doaku.
Ya, itulah bonda serta ayahandaku. permata yang sentiasa berada dalam hatiku. Permata yang memberikan sinar sejak aku dalam kandungan lagi. Berada dalam alam rahim yang gelap, aku diberikan tarbiyah melalui istiqamah doa dari bonda serta ayahanda yang tidak pernah putus dan aku dilahirkan hingga aku menjadi diri dan kehidupan aku sekarang.
Bagi aku, aku merasakan perubahan yang ketara sebagai seorang anak perempuan. Perubahan yang dapat aku rasakan sebelum aku bernikah dan selepas aku bernikah. Ya, aku merasakan kelainan itu, tapi aku tidak pasti sama ada mereka di luar sana turut sama merasakan apa yang aku rasa.
Sejak kecil aku di didik dengan didikan agama. Walaupun ketika kecil aku merasakan mereka terlalu tegas dalam mendidik kami 9 beradik, namun dengan ketegasan itulah menjadikan kami insan yang berjaya sekarang. Didikan yang diberi lebih menjangkaui dalam aspek keagamaan. Seingat aku, kami disuruh membaca Al-Quran setiap kali lepas solat waktu maghrib. Ya, aku memang tidak boleh lupa sangat itu. Kegarangan emak membuatkan kami sedikit takut lantas dengan cepat kami mengambil Al-Quran dan membacanya bersama-sama. Mana tidaknya, ketika kanak-kanak kecil yang berumur 7 hingga 9 tahun sedang bersuka ria seronok bermain, sedang kami dipaksa untuk membaca Al-Quran....
Hahaha...dan sekarang setiap kegarangan emak dan didikan yang tegas daripada beliau membawa kejayaan yang sangat bererti buat aku sebagai seorang anak. Aku baru mengerti bahawa tiada kebencian bagi seorang ibu dalam mendidik anak-anaknya. Ketegasan serta kegarangan yang dibuat bukanlah bererti mereka marah atau benci, tapi itulah keagungan kasih sayang dan cinta yang sebenar buat seorang ibu terhadap anak-anaknya...
Bagi ayah..penat keringat yang sentiasa menitik membuatkan ayahanda makin tabah dalam mencari rezeki yang buat kami. Siang malam tanpa henti berdiri gagah di pinggiran lautan, membasah keringat hanya ingin mencari rezeki membesarkan anak-anaknya. Seingat aku, duit poket yang diberi waktu sekolah rendah hanyalah 50 sen...dan saat itu aku mula merungut sendirian, terkadang cemburu melihat rakan sebaya yang seronok membeli dan berbelanja mewah, sedang aku hanyalah dengan 50 sen di dalam genggaman. Namun, fikiran akal yang masih belum mengerti penat lelah seorang ayah hatta mencari 10sen buat anak sebagai duit poket di waktu persekolahan..Aduhh..baru sekarang aku fahami bahawa hidup ini penuh dengan ujian, dan selepas menghadapi ujian itu baru kita akan belajar pengalaman sebenar dalam hidup.
Sekarang, aku jua telah memiliki abah serta mak..mertua yang ku sayang. Walaupun baru mengenali, aku yakin hati mereka penuh dengan sifat kasih sayang, dan aku cuba untuk menyesuaikan diri sebagai " anak yang baru" dalam keluarga mereka.
Terima Kasih Emak & Ayah..... ^_^