Thursday, 19 June 2014

Ulama' Kecilku 1....Permata Hati Ibu Ayah..


        9 Bulan...Suatu tempoh yang aku dan suami nanti-nantikan...Alhamdulillah dengan setiap kurniaan yang hebat dari Sang Pencipta telah lahir ulama' sulung kami Muhammad Umar Saiyaf Bin Amir Saiyaf.

Ya....suatu saat yang tidak mungkin akan aku lupakan. Melahirkan seorang khalifah sebagai amanah dariNya. Tidak terungkap kata-kata untuk digambarkan bagaimana perasaan yang melanda sebaik sahaja aku mendengar tangisan pertama ulama' kecilku di dalam labour room pada waktu subuh itu.

        Sebaik melahirkan, doctor terus meletakkan tubuh kecil itu di atas badan ku. Terketar-ketar kesejukan pertama kali berada di alam dunia, lantas aku terus memeluk tubuh kecil itu. Kedengaran ucapan Alhamdulillah yang tidak henti-henti dari mulut si dia....si pencinta dunia akhirat. Ku lihat wajahnya tersenyum dengan disulami air mata penuh kesyukuran.

Terimbas kembali saat-saat sebelum melahirkan. Malam itu sakit yang ku rasa kian kerap. Aku memberitahu suamiku lantas si dia memegang erat tangan ku sebagai penguat sedikit sebanyak mehilangkan sakit yang di alami.

" Sayang, kalau tak tahan sangat malam ni abang terus hantar sayang ke hospital ya. Abang risau tengok sayang. "

Selang sepuluh minit, aku terus memberitahu suamiku untuk ke hospital memandangkan sakit yang dirasai kian memuncak. Mulutku mula menuturkan zikir dan istighfar kepadaNya. Moga sakit yang dirasai adalah sebagai salah satu kifarah buat penghapus dosa aku yang lalu.

Sesampai di hospital, suamiku terus memapah aku masuk ke dalam. Aku lihat kerisauan timbul di wajahnya.

" Abang, abang jangan risau ya. abang doakan yang terbaik untuk sayang dan anak kita. " aku menuturkan kata-kata semangat kepadanya.

2 jam menanti, aku mula merasakan sakit yang teramat. Doktor mula datang kepadaku dan menjerit kerana melihat kepala anakku sudah keluar sedikit. Dengan segera dia terus menolak aku di atas katil masuk ke labour room.

Saat itu, aku hanya meletakkan sepenuh jiwa ragaku kepadaNya kerana kepadaNya jualah aku akan dikembalikan. Aku mula memasang niat jika aku mati saat melahirkan khalifah ini, biarlah matiku ini sebagai mati syahid.

Aku memanggil, di mana suamiku. Lantas doctor terus memanggil suami ku yang sedang menunggu di luar untuk masuk menemaniku bersama-sama. Terasa hangat saat suamiku memegang erat tanganku, membisikkan kata-kata semangat di telingaku. Entah macam mana aku merasakan satu semangat yang kuat tiba-tiba hadir dan dengan beberapa kali teran sahaja lahirlah ulama' kecilku tepat jam 3.10 pagi, Sabtu, 10 MEI 2014.

Alhamdulillah....

Kini, Muhammad Umar Saiyaf menjadi permata hati ibu dan ayah. Ya Allah jadikan anankku ini seorang anak yang soleh, yang mentaati perintahMU dan perintah RasulMu. Moga anakku ini menjadi seorang anak al-Hafiz yang genius. Menjadi seorang ulama' yang menegakka agama Islam. Moga anakku ini menjadi penyejuk mata penawar hati ibu dan ayahnya. Permudahkan segala urusan hidupnya, luaskan pintu rezeki hidupnya dan kurniaan kejayaan yang terbaik dalam hidupnya. Amiinnn......


Wednesday, 9 April 2014

Aku Terlalu Merindui Bumi Itu

   Hampir setahun aku meninggalkan BUMI itu... Rindu yang mencengkam usah ditanya. Betapa hati ini kadang-kadang terimbas kembali saat di mana aku berada di bumi itu untuk pertama kalinya. Kelainan terasa ketika berada di sana. Dapat aku rasakan barakahnya bumi itu hasil peninggalan dakwah dan tarbiayah KEKASIHNYA.. 

Aku pergi bukan kerana benci. Aku pergi meninggalkan bumi itu bukan kerana aku sudah jemu. Tidak sama sekali. Aku pergi kerana aku ingin mendapatkan kualiti ilmu yang lebih barakah dan terjamin di sisi-Nya. Tetapi bukan maksudku untuk mengatakan ilmu di bumi itu tidak cukup barakah, mungkin kerana SIKAP dan TABIAT manusia membuatkan aku jelek dengan suasana untuk menuntut ilmu di sana.

Ditemani si pencinta hati dunia akhirat, kami membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di Malaysia dan meinggalkan BUMI itu untuk sementara. Berbekalkan tekad dan keazaman untuk kami kembali di sana, moga Allah akan perkenankan segala doa dan usaha kami untuk mengubati segala penyakit rindu yang hadir.

Perbezaan amat ketara dapat dirasai antara menuntut ilmu di sana dan di sini. Terlalu banyak perbezaan. Sukar untuk diungkapkan tetapi jelas di BUMI itu segalanya lebih bergantung dengan tawakkal yang tinggi kepada Allah. Di sini, mereka lebih mengharapkan bantuan dan simpati manusia. Owh, betapa manusia lebih diutamakan untuk kepentingan diri sendiri.

Ramai yang bertanya, mengapa aku bertukar tempat belajar? Bukankah di BUMI itu lebih banyak barakah dan syafaatnya? Aku tidak menafikan semua itu. Ya, memang di Bumi itu terlalu banyak barakah dan syafaatnya. akan tetapi aku lebih mencintai sesuatu ilmu andai ilmu itu didapati dan diperolehi dengan cara yang lebih " baik ". Bukan suasana atau sesuatu tempat yang menjadi pengukur barakah dna syafaatnya sesuatu ilmu itu, akan tetapi cara dan bagaimana kita mendapatkan ilmu. Adakah dengan cara yang betul atau sebaliknya, semuanya di atas pilihan sendiri.