Monday, 18 March 2013

.........Merintis Mujahid........


12/3/2013…

Malam itu, aku baru pulang ke rumah di Kaherah bersama suami. Niat di hati untuk tinggal di Mansourah selama 3 bulan bagi menghadapi peperiksaan yang bakal menjelma terbantut. Ohhhh…penyakit rindu datang kembali dan petang itu aku di bawa pulang oleh suami tercinta. Tibanya di rumah , sedang kami berehat di dalam bilik suamiku meluahkan sesuatu dalam hatinya. Sayu hati mendengar apa yang terkeluar dari sudut hati suamiku sedang aku tahu hatinya menangis ketika itu walau zahir tidak kelihatan titisan yang berderai.

“ Sayang, abang ada terbaca blog yang abah buat. Abang sedih bila baca luahan abah dalam blog tu. Luahan kasih sayang seorang bapa tentang anak lelakinya. “luah suamiku.

“ Tentang siapa bang?”

“Tentang abang, ya abang anak lelaki itu. Sayang ambil telefon ni dan baca apa yang abah tulis.”

Aku segera mencapai telefon dari suami lalu membaca blog itu dengan teliti.

11.9.12@ Selasa @ 12.00 – 03.00 petang yang lalu kami sekeluarga berada di KLIA mengiringi anakanda ke 6 berlepas ke Mesir menyambung pelajaran Qurannya. Beliau berminat dengan Qiraat..semoga mendapat keberkatan dan dipermudahkan urusan oleh Allah S.W.T. Berjaya dan berpeluang bertemu dengan para mujahid di bumi Mesir yang telah mengukir sejarah. Terima kasih kepada penaja YP dan pegurusan MTNP yang telah memberikan peluang semoga Allah membuka dan menambah hidayah buat anda dan kita semua.
        Bumi yang menyaksikan perjuangan rakyat menuntut tertegaknya hukum Islam sejak berpuluh tahun. “Dakwah”  mereka yang menerima bintang syuhada yang ramai seperti Sheikh Abdul Kadir Audah, Syed Qutb, Imam Hasan Al-Banna dan ramai lagi yang tak mampu di ingati ( beribu-ribu di penjara, digantung malah ditembak ) Rejim sekular yang mabuk darah umat Islam akhirnya runtuh pada tahun 2012.

      Lama juga kami/saya mengimpikan seorang dari keluargaku menjejak mereka di sana juga para mujahid di Afghanistan. Aku serahkan kepada Allah segalanya memelihara beliau utuk mencapai tujuan dan menjadi insan mujahid. Moga bahang roh syuhada di bumi Mesir merahmati cita-cita beliau dan diriku juga. Beliau aku namakan Amir Saiyaf sempena nama mujahid dan ulama pemimpin mujahidin di Afghanistan yang Berjaya menghalau komunis Rusia dari bumi Afghanistan pada tahun 90 an.

       Bagaimanapun berisiko juga nama itu kerana perkembangan terbaru dunia yang fobia dengan nama “Saiyaf” lantaran peristiwa “11 sept” dan gelombang di dunia arab masa kini. Namun seperti aku katakan di permulaaan tadi, aku serahkan segalanya pada Allah S.W.T.
Amir Saiyaf… teruskan cita-cita dan selamat berjuang menuntut ilmu dan mentarbiyah diri dengan rahmat dan berkat para syuhada di bumi Mesir. Jaga diri dan keluargamu di sana (nama). …fokus pada misimu…tenang dan sabar dengan cubaan dan halangan…. DOA KAMI SELALU UNTUK KEJAYAAN KAMU DAN ISLAM YANG KITA DUKUNG BERSAMA…salam perjuangan untuk DR.MUHAMAD MURSI…teruskan perjuangan…. Langkag permulaan menuju merintis mujahid ke bumi Mesir yang bersejarah. Sekian, betemu lagi dan selamat berjuang dari ayahanda dan keluarga.


Kata-kata serta luahan hati dari seorang bapa buat anaknya. Ya, abah mertuaku. Kali pertama aku baca tulisan hati beliau. Sangat besar hasrat serta impian buat anaknya. Impian di dalam hati sejak sekian lamanya ingin menjadikan anaknya seorang mujahid teragung, meneruskan risalah dakwah Islam yang pernah gemilang suatu masa dahulu.

Tak terkata dibibir apatah lagi seuntai kata yang mampu ku ukir setelah membaca blog abah. Penuh dengan harapan yang menjulang tingginya. Walaupun merupakan seorang yang hanya  pernah bekerja sebagai pegawai kesihatan bahagian psikatrik di sebuah hospital, aku cukup kagum dengan ilmu serta keinginannya dalam menegakkan dakwah Islam yang cukup tinggi. Setiap bait kata-kata yang penuh makna terasa roh semangat untuk bangkit bernyala-nyala.

Aku meletakkan telefon, duduk berhadapan dengan suamiku sambil memegang muka dan mengusap kepalanya. Lalu aku bisikkan sesuatu di telinganya.

“ Abang, jadikan setiap apa yang abah tulis dalam blog itu sebagai pembakar semangat untuk abang dan sayang terus bangkit dan maju ke hadapan dengan gemilangnya. Jadikan setiap harapan serta impian yang menjulang tinggi itu sebagai penambah keyakinan serta kekuatan abang dan sayang untuk mengutip setiap cebisan mutiara yang ada di sini. Jadikan setiap doa-doa mereka sebagai perisai untuk abang dan sayang terus gigih dalam melayari kehidupan yang penuh berkat serta redha dariNya.”

Lantas, suamiku memeluk aku dengan penuh erat. Di saat itu, aku terasa titisan hangat yang mengalir.



Buat suamiku,
Kuatkan hatimu…
Tabahkan jiwamu…
Bangkitkan semangatmu…
Aku yakin Allah sentiasa ada bersamamu…
Dalam melayari Kehidupan yang penuh berliku…
Tidak semua yang terpilih seperti kamu…
Dalam menghadapi ujian ini…
Kerana..
Ketahuilah…
Sesungguhnya Allah sedang menguji imanmu..
Dan itulah…
Tanda kasih sayang Allah buat dirimu…
Yang terlalu istimewa..
Senyumlah …


Duhai permataku…




No comments:

Post a Comment